Monday 19 November 2012

Work Based Learning (WBL) Kolej Komuniti

Pengenalan.
Program Diploma secara ‘Work Based Learning’ adalah merupakan program baru yang sedang di laksanakan di Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Program yang melibatkan Jabatan Pengurusan Politeknik dan Kolej Komuniti KPTM, GLCs/Syarikat dan pelajar-pelajar Diploma adalah merupakan komponen penting di dalam perlaksanaannya. Program ini memberi penumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran secara ’hand on’ dan ianya diperolehi ditempat kerja sebenar iaitu di GLCs/Syarikat yang dilantik.


'GLCs/Syarikat beku’
Istilah yang digunakan apabila wujudnya GLCs/Syarikat yang tidak mempunyai apa-apa projek dalam jangka masa yang lama iaitu melebihi 3 bulan. Akibatnya pelajar yang ditempatkan di GLCs/Syarikat tersebut tidak berpeluang untuk mendapatkan kemahiran yang diperlukan. Bagi mengatasi masalah ini GLCs/Syarikat dikenalpasti terlebih dahulu melalui pemantauan mingguan oleh felo. Perbincangan di buat dengan pihak GLCs/Syarikat terbabit dan persetujuan di capai dimana pelajar akan diagihkan ke GLCs/Syarikat baru (masih dalam senarai) dengan meletakkan seorang pelajar untuk setiap GLCs/Syarikat. Ini penting jika lebihan pelajar dikhuatiri akan mendatangkan beban kepada GLCs/Syarikat baru yang sudahpun mempunyai pelajar WBLnya sendiri.

Kekuatan Program Diploma WBL.
Setelah kursus ini dijalankan, didapati terdapat kelebihan yang diperolehi samada kepada diri pelajar dan juga kepada GLCs/Syarikat. Kelebihan ini memang tidak dapat dinafikan kerana melalui program ini, ketiga-tiga komponen JPPKK  (Kolej Komuniti), pelajar dan GLCs/Syarikat di lihat akan bekerjasama bagi merealisasikan program ini.

Kelebihan pada diri pelajar.
Program Diploma secara WBL ini secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada pelajar dalam menyediakan diri dengan pengalaman sebenar. Ianya amat berbeza dengan Latihan Industri (L.I) di peringkat sijil kerana terdapat silibus yang perlu di penuhi. Pelajar secara tidak langsung terpaksa mendapatkan semua kemahiran bagi memastikan tuntutan silibus dipenuhi dan akhirnya akan lahirlah pelajar yang benar-benar kompeten seperti yang dikehendaki di dalam pasaran kerja sekarang.  

Kelebihan kepada GLCs/Syarikat.
Disamping kelebihan yang diperolehi bagi pihak pelajar, GLCs/Syarikat juga tidak ketinggalan dalam memperolehi kelebihan dari program ini. GLCs/Syarikat secara amnya mendapat pelajar yang sudah mempunyai asas yang agak kukuh (diperolehi diperingkat sijil) untuk menjadi ’tenaga kerja’ bagi GLCs/Syarikat tersebut. Dari segi Gred kontrak, bagi GLCs/Syarikat yang mempuyai gred kelas 2, GLCs/Syarikat hanya boleh untuk mendapatkan kontrak yang mempunyai nilai kurang dari 1 juta ringgit. GLCs/Syarikat yang berkeupayaan untuk mengendalikan kontrak yang mempunyai nilaian lebih dari 1 juta,  GLCs/Syarikat terbabit perlu mendapatkan gred G3 yang mensyaratkan bahawa salah seorang kakitangan GLCs/Syarikat terbabit perlulah mempunyai sekurang-kurangnya Diploma. Bagi maksud tersebut GLCs/Syarikat tentu akan berbesar hati untuk menerima pelajar ini (telah dibuktikan kompetan) menjadi pekerja tetap bagi mencapai maksud tersebut.

Kesimpulan
Sesungguhnya Program Diploma secara WBL ini adalah merupakan program yang sangat unik. Program yang mempunyai kekuatannya tersendiri dan pastinya akan menyumbang kepada pembangunan negara. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama agar program ini dapat kita perbaiki dari masa ke semasa agar ianya lebih kemas dan teratur. Pertambahan staf untuk menjalankan program ini adalah merupakan faktor yang penting dan perlu diberi perhatian. Sokongan dari semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung amatlah diperlukan agar program ini dapat berjalan dengan lancar. Semoga harapan semua pihak untuk melihat Program Diploma secara WBL ini berjaya akan menjadi kenyataan. 

Dikarang Oleh : Ismail Bin Samsuddin A.M.P
Diedit Oleh : Ustaz Mohd Redzwan Bin Abdul Mutalib


SEJAUH MANAKAH PENERIMAAN SYARIKAT/INDUSTRI TERHADAP GRADUAN DIPLOMA TEKNOLOGI ELEKTRIK BERKONSEP WORK-BASED LEARNING (WBL) KOLEJ KOMUNITI KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA?


Oleh :

Ismail bin Samsudin, Norlida binti Abd Razak dan Mohamad Rushdan bin Mohamad Deros
Kolej Komuniti Kuantan, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia


ABSTRAK

Kertas ini mengkaji isu-isu berkaitan tahap pencapaian prestasi graduan program Diploma Teknologi Elektrik berkonsep Work-Based Learning (WBL), Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia selepas memasuki alam pekerjaan. Fokus kajian adalah tertumpu kepada syarikat/industri yang mengambil graduan tersebut sebagai pekerja dan adakah aras kemahiran mereka memenuhi keperluan yang diperlukan oleh syarikat/industri berkenaan.  Semoga dapatan daripada kajian ini dapat menentukan samaada matlamat pelaksanaan WBL ini tercapai dan tindakan penambahbaikan dapat dirancang dan dilaksanakan untuk mempertingkatkan kualiti program ini di masa hadapan.

1.0          Pengenalan

Terdapat beberapa pendekatan dan kaedah pelaksanaan latihan kemahiran dalam bidang teknikal dan vokasional yang ditawarkan oleh institusi pendidikan.  Kaedah yang dipilih seharusnya dapat melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran teknikal dan soft-skills yang diperlukan oleh pihak industri. Ini diperkuatkan lagi dengan dapatan kajian di Britain, pihak industri berpendapat institusi kemahiran perlu memasukkan unsur vokasional di dalam kurikulumnya tetapi tidaklah ditahap sehingga pelajar-pelajarnya boleh bekerja dengan kemahiran yang diperolehi tanpa sebarang latihan. Ini memandangkan, pihak industri lebih suka memberi latihan di tempat kerja dan pihak institusi vokasional memberikan latihan asas. Kurikulumnya meliputi pengetahuan asas, kemahiran komunikasi, kemahiran teknikal serta etika kerja [1].

Bagi memenuhi keperluan industri maka kaedah kaedah yang menggabungkan industri dan institusi telah dipilih untuk dilaksanakan.   Hasil proses penjenamaan semula Kolej Komuniti pada 27 Februari 2007, suatu program baru iaitu program Diploma berkonsep Work-Based Learning (WBL) telah dibentuk khusus untuk dilaksanakan di Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.  Konsep pelaksanaannya adalah merupakan gabungan pembelajaran dan latihan di tempat kerja serta pembelajaran teknikal atau vokasional di kolej komuniti.  Bagi melaksanakan pogram yang lebih dikenali sebagai diploma WBL ini, pihak syarikat/industri telah dilibatkan daripada peringkat penggubalan kurikulum, pelaksanaan pengajaran dan latihan, serta penilaian secara bersama dengan kolej komuniti.  Sepanjang tempoh dua semester iaitu semester 5 dan 6, pelajar akan ditempatkan di syarikat/industri dan pada semester 7 pelajar akan berada di kolej komuniti untuk menamatkan pengajian.

Pada peringkat awal, program diploma WBL telah ditawarkan oleh sebelas buah kolej komuniti dan melibatkan enam jenis program diploma.  Salah satu program tersebut adalah program Diploma Teknologi Elektrik yang dilaksanakan oleh Kolej Komuniti Kuantan, Kolej Komuniti Jempol dan Kolej Komuniti Arau.  Kolej-kolej terbabit telah menerima kemasukan pertamanya pada Julai 2007 iaitu seramai 102 orang pelajar dan sebanyak 6 buah syarikat/industri bersetuju untuk turut serta dalam menjayakan program ini.  Kolej Komuniti Kuantan telah menempatkan 29 orang pelajar di 11 buah syarikat/industri yang berada di bawah Persatuan Kontraktor Elektrik Bumiputera Pahang.  Kolej Komuniti Jempol telah menempatkan 35 orang pelajar di 3 buah syarikat/industri iaitu Easy Technology Sdn Bhd, Enter Corridor Sdn. Bhd. dan Permintex Sdn. Bhd.  Manakala Kolej Komuniti Arau telah menempatkan seramai 38 orang pelajar di Persatuan Kontraktor Elektrik Bumiputera Perlis dan Permintex Sdn. Bhd.

Lulusan sulung program diploma WBL tersebut telah menamatkan pengajian dan dianugerahkan diploma pada Majlis Konvokesyen Program Diploma Pertama pada 31 Mei 2009.  Memandangkan graduan tersebut telah memasuki alam pekerjaan dan ada yang telah diterima bekerja di syarikat/industri maka beberapa persoalan mula timbul iaitu bagaimanakah pandangan syarikat/industri terhadap prestasi graduan ini semasa bekerja?  Berbagai tanggapan dan andaian telah diutarakan oleh pihak kolej komuniti dan juga syarikat/industri terhadap keupayaan graduan tersebut.  Melalui perbincangan, syarikat/industri yang terbabit dalam melaksanakan program ini mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap tahap kemahiran pelajar berdasarkan minat, komitmen dan ketrampilan yang ditunjukkan sepanjang tempoh pengajian dan latihan.  Sementara bagi pihak kolej komuniti pula, pensyarah yang telah diarahkan untuk melaksanakan program ini pula menyatakan, melalui struktur program lengkap yang dihasilkan dan diterjemahkan melalui proses pengajaran dan pembelajaran serta penilaian yang berjaya, akan melahirkan graduan yang berkemahiran dan berketrampilan. Namun persoalan ini wajar dileraikan melalui kajian yang teratur dan sistematik.  Sehubungan dengan itu, kajian ini telah dilaksanakan bagi mengenal pasti jawapan sebenar terhadap persoalan tersebut melalui kaedah soal selidik terhadap syarikat/industri yang telah mengambil graduan program diploma WBL sebagai pekerja.  

2.0          OBJEKTIF KAJIAN

Objektif  kajian ini dilaksanakan adalah untuk menentukan samada graduan yang telah dihasilkan melalui program Diploma Teknologi Elektrik berkonsep WBL ini dapat memenuhi aras kemahiran dan mempunyai ketrampilan seperti yang diperlukan oleh syarikat/industri.  Selain itu, cadangan penambahbaikan pelaksanaan akan diberi bagi mengatasi sebarang kelemahan yang telah dikesan daripada kajian ini.

Skop kajian ini meliputi aspek-aspek berikut:
a)                  Mengenalpasti syarikat/industri yang menawarkan pekerjaan kepada graduan diploma WBL.
b)                   Kebolehan graduan dalam menerima arahan.
c)                   Kemampuan dalam melaksanakan arahan.
d)                   Kebolehan dalam menjalankan kerja.
e)                   Tahap disiplin pekerja graduan WBL.
f)                    Tahap kemahiran pekerja graduan WBL.

3.0          METHODOLOGI

Populasi kajian ini melibatkan 33 graduan Diploma Teknologi Elektrik berkonsep WBL yang telah mendapat pekerjaan di syarikat/industri selepas tamat pengajian pada Disember 2008.  Graduan tersebut adalah dari Kolej Komuniti Kuantan, Kolej Komuniti Jempol dan Kolej Komuniti Arau. Kaedah soal selidik telah digunakan dan instrumen kajian adalah BORANG MAKLUMBALAS MAJIKAN GRADUAN TEKNOLOGI ELEKTRIK DIPLOMA KOLEJ KOMUNITI 2009 seperti di Lampiran 1.

Sebanyak 26 borang soal selidik telah diedarkan kepada 17 syarikat/industri yang merupakan majikan kepada graduan tersebut.  Walaupun terdapat seramai 33 graduan yang telah bekerja tetapi borang soal selidik ini hanya diedarkan kepada syarikat/industri yang berkaitan dengan bidang pengajian graduan.  Soal selidik ini mengandungi 3 bahagian utama iaitu :  Maklumat Latar Belakang Pengurus Syarikat/Industri, Maklumat Syarikat/Industri dan Penilaian Terhadap Graduan. Kesemua borang telah dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Package for the Social Science (SPSS).

Dapatkan maklumat selanjutnya dengan klik disini

Relevankah Program Diploma Teknologi Elektrik, Kolej Komuniti Kuantan di Teruskan?


Relevankah Program Diploma Teknologi Elektrik, Kolej Komuniti Kuantan di Teruskan?

Mohamad Rushdan bin Mohamad Deros, Zulkifli bin Yahya dan Ismail bin Samsudin Kolej Komuniti Kuantan, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia

ABSTRAK

Kertas ini mengkaji isu-isu berkaitan kebolehpasaran graduan Program Diploma Teknologi Elektrik berkonsepkan Work-Based Learning (WBL), Kolej Komuniti Kuantan, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia selepas tamat pengajian. Fokus kajian adalah tertumpu kepada graduan-graduan ambilan pertama yang telah pun menamatkan pengajian mereka pada Disember 2008. Kejayaan sesuatu program itu diukur apabila sebanyak 75% graduan boleh dipasarkan atau diterima bekerja dalam tempoh 6 bulan selepas tamat pengajian. Kajian yang dijalankan ini akan dapat merungkai persoalan adakah graduan Program Diploma Teknologi Elektrik ini boleh dipasarkan dan diterima oleh industri dalam tempoh yang ditetapkan. Semoga dapatan daripada kajian ini untuk menentukan samaada matlamat pelaksanaan program Diploma Teknologi Elektrik secara WBL tercapai dan kesesuaian untuk program ini diteruskan dapat dibincangkan.

1.0  PENGENALAN

Program Diploma berkonsepkan WBL adalah satu program baru yang telah dibentuk khusus untuk dilaksanakan di Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia hasil daripada penjenamaan semula Kolej Komuniti pada 27 Februari 2007. Konsep pelaksanaannya adalah merupakan gabungan pembelajaran dan latihan di tempat kerja serta pembelajaran teknikal atau vokasional di kolej komuniti.  Bagi melaksanakan pogram yang lebih dikenali sebagai WBL ini, pihak syarikat/industri telah dilibatkan daripada peringkat penggubalan kurikulum, pelaksanaan pengajaran dan latihan, serta penilaian.  Sepanjang tempoh dua semester iaitu semester 5 dan 6, pelajar akan ditempatkan di syarikat/industri sementara pada semester terakhir iaitu semester 7 pelajar akan berada di kolej komuniti.

Pada peringkat awal, program diploma berkonsepkan WBL telah ditawarkan oleh sebelas buah kolej komuniti dan melibatkan enam jenis program diploma.  Salah satu program tersebut adalah program Diploma Teknologi Elektrik yang dilaksanakan oleh Kolej Komuniti Kuantan, Kolej Komuniti Jempol dan Kolej Komuniti Arau.  Kolej-kolej terbabit telah menerima kemasukan pertamanya pada Julai 2007 seramai 102 orang pelajar dan sebanyak 6 buah syarikat/industri bersetuju untuk turut serta dalam menjayakan program ini.  Kolej Komuniti Kuantan telah menempatkan 29 orang pelajar di 11 buah syarikat/industri yang berada di bawah Persatuan Kontraktor Elektrik Bumiputera Pahang.
Lulusan sulung program WBL telah menamatkan pengajian dan dianugerahkan diploma pada Majlis Konvokesyen Program Diploma Pertama pada 31 Mei 2009.  Memandangkan graduan tersebut telah memasuki alam pekerjaan dan ada yang telah diterima bekerja di syarikat/industri maka beberapa persoalan mula timbul iaitu bagaimanakah pandangan syarikat/industri terhadap prestasi graduan ini semasa bekerja?  Berbagai tanggapan dan andaian telah diutarakan oleh pihak kolej komuniti dan juga syarikat/industri terhadap keupayaan graduan tersebut.  Melalui kajian yang bertajuk “SEJAUH MANAKAH PENERIMAAN SYARIKAT/INDUSTRI TERHADAP GRADUAN DIPLOMA TEKNOLOGI ELEKTRIK BERKONSEPKAN WORK-BASED LEARNING (WBL) KOLEJ KOMUNITI KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA?” telah menjawab persoalan berikut. Keseluruhan skor bagi kajian ini adalah tinggi iaitu 4.22 untuk kesemua item penilaian. Ini menunjukkan persoalan yang diutarakan dalam kajian ini telahpun terjawab dimana syarikat telah dapat menerima graduan Diploma Teknologi Elektrik Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan aras penerimaan yang sangat baik.
Pengambilan pelajar-pelajar bagi semua Program Diploma Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pada masa ini adalah dengan mengambil pelajar lepasan sijil kolej komuniti. Ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar lepasan sijil kolej komuniti untuk melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Kesinambungan pembelajaran yang berkonsepkan kemahiran telah menuntut Kolej Komuniti KPTM membentuk program diplomanya sendiri. Secara tidak langsung program diploma yang dijalankan di kolej komuniti dapat menampung sebahagian lulusan sijil yang ingin meningkatkan taraf akademik mereka tetapi tidak mendapat tempat samaada di politeknik atau IPTA lain.

Ambilan pertama Program Diploma Teknologi Elektrik di Kolej Komuniti Kuantan telah menjalankan pengajian dari Julai 2007 sehinggalah Disember 2008. Mereka ini adalah lepasan program Sijil Teknologi Elektrik dari pelbagai Kolej Komuniti seluruh Malaysia. Komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar ini untuk menjalani program WBL ini telah memberikan satu gambaran yang baik untuk Kolej Komuniti Kuantan. Graduan ambilan pertama ini juga dijadikan sebagai responden bagi kajian ini. Pelajar ambilan kedua pula telah menjalankan pengajian mereka dari Julai 2008 sehinggalah Disember 2009. Bagi ambilan kedua ini seramai 30 orang pelajar berjaya menamatkan pengajian mereka. Pelajar program diploma yang kini berada di Kolej Komuniti Kuantan adalah merupakan ambilan ketiga dimana mereka telah mendaftar pada Julai 2009 dan dijangka menamatkan pengajian mereka pada Disember 2010.
Program Diploma ini telah mendapat permintaan yang menggalakkan dari lepasan Sijil Teknologi Elektrik. Apabila permohonan dibuka, pihak Jabatan Pengajian Kolej Komuniti telah menerima ratusan permohonan bagi mengikuti pengajian program diploma. Ini membuktikan bahawa lepasan sijil kolej komuniti berminat dan ingin meningkatkan taraf pendidikan mereka dan tidak hanya berhenti setakat sijil sahaja. Program ini juga menjadi ’trade mark’ kepada kolej yang mana pembelajaran berkonsepkan WBL ini hanya ditawarkan oleh kolej komuniti. Tambahan juga, program ini memberi kelegaan kepada ibu bapa bagi memastikan anak mereka dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

2.0  OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian ini dilaksanakan adalah untuk menentukan:
i)          tahap kebolehpasaran graduan selepas setahun menamatkan pengajian
ii)         penawaran Program Diploma Teknologi Elektrik berkonsepkan WBL diteruskan
Skop kajian ini meliputi aspek-aspek berikut:
a)        Nama syarikat bekerja.
b)        Tarikh mula bekerja.
c)        Gaji yang diterima.


3.0  METODOLOGI

Populasi kajian ini melibatkan 29 graduan Diploma Teknologi Elektrik, Kolej Komuniti Kuantan yang telah mendapat pekerjaan di syarikat/industri selepas tamat pengajian pada Disember 2008 serta maklumat dari pihak pengurusan Sektor Pengurusan Kolej Komuniti (SPKK). Kaedah pengumpulan maklumat yang digunakan adalah dengan membuat panggilan telefon kepada pelajar berpandukan kepada soalan yang sama untuk setiap pelajar. Sementara satu set soalan lagi ditujukan kepada pihak SPKK secara panggilan telefon juga. Mekanisme soalan tersebut adalah seperti di Lampiran 1.

Dapatkan yang selanjutnya dengan klik di sini.

PENGAMBILAN PELAJAR SESI JANUARI 2013


Aktiviti pengambilan pelajar baharu Sesi Januari 2013 di Kolej Komuniti Jerantut Pahang telah bermula. Program Pengajian  yang ditawarkan ialah Sijil Modular Kebangsaan Akuakultur iaitu:
SMK 1 - Teknik  Pembenihan Ikan 3 Bulan
SMK 2 - Teknik Asuhan Ikan  3 Bulan
dan bakal menawarkan satu lagi kursus baru iaitu SKK (Sijil Kolej Komuniti) – Pemprosesan Kawalandan Mutu Makanan.
       Permohonan untuk kemasukan Sesi Januari 2013 ini boleh dibuat melalui beberapa kaedah seperti datang terus ke KKJP (Pendaftaran secara walk in). Selain itu, pemohon turut boleh mengisi borang di :-

Tetapi, pemohon perlu pastikan terlebih dahulu untukmendapatkan No Pin di Bank Simpanan Nasional yang berharga RM 10.60 kalau tak silap. No Pin ini, pemohon turut boleh menggunakannya untuk mengisi Borang Permohonan UPU.
Satu cara lagi, pemohon juga boleh menmuat turun atau men’download’ borang di  bahagian Muat Turun buka folder Pelawat dan Bakal Pelajar. Seterusnya pemohon bolehlah mengepos borang tersebut kepada pihak Kolej.
          Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kemasukan Sesi ambilan Januari 2013 serta mengajukan sebarang pertanyaan, silalah berhubung dengan Pegawai Pengambilan KKJP kami, Cik Nor Amalina di talian 09-2662 945 samb 104. 
           Adalah diharapkan agar para pelajar lepasan SPM 2012 dapat memenuhi tempat di Kolej Komuniti bagi mempelajari pelbagai ilmu kemahiran bagi memenuhi aktiviti sebelum kemasukan ke Universiti.

SKK - Pemprosesan &Kawalan Mutu Makanan


SIJIL KOLEJ KOMUNITI (SKK) - Pemprosesan & Kawalan Mutu Makanan

Pada awal Januari 2013, Kolej Komuniti akan melangkah setapak maju lagi dengan membuka Kursus Sijil Kolej Komuniti ataupun dipanggil sebagai SKK bagi bidang Pemprosesan dan Kawalan Mutu Makanan.

      Kursus ini dijalankan selama 2 tahun atau 4 semester secara sepenuh masa dengan 3 semester pembelajaran di Kolej Komuniti dan diwajibkan menghadiri 1 semester Latihan Industri. Yuran SKK berbeza dengan yuran Modular dimana Pihak Kementerian menetapkan untuk mengenakan hanya RM 200 untuk setiap semester pembelajaran.

RUANGLINGKUP PROSES PEMBELAJARAN

  • ·        Merangkumi pemprosesan dan pembungkusan semua kategori makanan khususnya yang bersumberkan bahan mentah tempatan.
  • ·        Merangkumi kaedah pengawetan buah-buahan, sayur-sayuran, ikan dan hasilan laut, daging, ayam, telur, hasilan koko, gula, bakeri, minyak dan snek tempatan.
  • ·        Juga didedahkan kepada aspek pengawalan mutu makanan, baik semasa atau selepas pemprosesan, aspek kandungan makanan dan pemakanan, menguji dan menganalisis makanan, perundangan yang berkaitan makanan serta pengurusan dan pemasaran hasil makanan.

KEMUDAHAN YANG DISEDIAKAN

  • ·        Bengkel Pemprosesan Dan Kawalan Mutu Makanan
  • ·        Makmal Penyediaan Makanan
  • ·        Makmal Proses Makanan
  • ·        Makmal Bakeri
  • ·         Makmal Sains, Matematik & Analisa Makanan

MODUL - MODUL PROGRAM WAJIB KOLEJ (PWK)


Berikut adalah merupakan modul - modul  Program Wajib Kolej yang ditawarkan di Kolej Komuniti Jerantut :

  1. Asas Ibadah Solat / Kemoralan Sosial
  2. Kemahiran Insaniah
  3. English for Customer Service
  4. English for Social Transaction
  5. English for Social Transaction

ASAS IBADAH SOLAT
Aktiviti Ibadat Solat ini mempunyai kaedah pembelajaran dan latihan bagi melaksanakan perkara - perkara berikut : 

  1.  Melaksanakan Taharah
  2. Melakukan Aktiviti Pra-Solat
  3. Melaksanakan amali Solat
  4. Melaksanakan Tamsik Wirid dan Doa Pilihan

KEMORALAN SOSIAL
Aktiviti Kemoralan Sosial ini mengandungi kaedah - kaedah pembelajaran dan latiahan bagi melaksanakan perkara - perkara berikut :

  1. Melaksanakan Takrif Asas Etika Moral
  2.  Mengamalkan Nilai Masyarakat Bermoral
  3.  Respons Terhadap Realiti Kehidupan

ENGLISH FOR CUSTOMER SERVICE
English for customer service activity includes learning and practice to implement instructions and directions, descriptions, customer learning skills and negotiations. These activities must be completed to fulfil the needs of learning and practive stated.

ENGLISH FOR SOCIAL TRANSACTIONS
English for social transactions activity includes learning and practice to implement social expressions, ideas and opinions, plans and messages. These activities must be completed to fulfil the needs of learning and practive stated.

ENGLISH FOR WORK OPERATIONS
English for social transactions activity includes learning and practice to implement instructions and directions, descriptions, customer relation skills and negotiations. These activities must be completed to fulfil the needs of learning and practive stated.

Perutusan Pengarah


Assalamualaikum dan Salam Satu Malaysia             
Selamat Datang saya ucapkan kepada anda para pengunjung Laman Blog Kolej Komuniti Jerantut, Kementerian Pengajian Tinggi. Selari dengan perkembangan pesat Teknologi Maklumat masakini, saya berharap Laman ini akan dapat memberikan segala maklumat yang tuan-tuan kehendaki terutamanya mengenai kursus-kursus yang ditawarkan oleh Kolej Komuniti Jerantut di samping mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai Visi, Misi, Dasar dan perkembangan Kolej Komuniti Jerantut umumnya.
Dengan kerjasama semua pihak maka  Kolej Komuniti Jerantut mampu berfungsi dengan lebih efektif dan efisyen sebagai Hub Pembelajaran Sepanjang Hayat sepertimana yang telah dirancangkan melalui Pelan strategik Pengajian Tinggi Negara, Kementerian Pengajian Tinggi.
            Kolej Komuniti Jerantut berperanan membantu kerajaan dalam meningkatkan ilmu dan tahap kemahiran kepada masyarakat setempat dan rakyat Malaysia umumnya dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir ataupun separa professional bagi tujuan pembangunan negara di samping meningkatkan tahap sosio ekonomi isi rumah.
            Kolej Komuniti Jerantut menawarkan kursus-kursus kemahiran dalam bentuk sijil dan diploma secara sepenuh masa, separuh masa ataupun melalui kursus-kursus pendek dengan kos yang amat minima. Saya menyeru agar seluruh masyarakat daerah Jerantut dan sekitarnya menggunakan sepenuhnya peluang dan kesempatan dengan mendaftar segera sebagai peserta kursus di kolej ini. 
            Akhir kata saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan kepimpinan Jabatan Pengajian Kolej Komuniti serta semua pihak yang telah banyak menaburkan bakti, budi dan jasa dalam memastikan aspirasi negara bagi melahirkan modal insan yang berketerampilan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan  dan wawasan 2020  terus tercapai. 

 “ PENERAJU KOMUNITI BERILMU DAN BERKEMAHIRAN “
Salam hormat,

ABU BAKAR BIN MAT TAI
Pengarah,
Kolej Komuniti Jerantut,
Jerantut, Pahang.