Monday 19 November 2012

Relevankah Program Diploma Teknologi Elektrik, Kolej Komuniti Kuantan di Teruskan?


Relevankah Program Diploma Teknologi Elektrik, Kolej Komuniti Kuantan di Teruskan?

Mohamad Rushdan bin Mohamad Deros, Zulkifli bin Yahya dan Ismail bin Samsudin Kolej Komuniti Kuantan, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia

ABSTRAK

Kertas ini mengkaji isu-isu berkaitan kebolehpasaran graduan Program Diploma Teknologi Elektrik berkonsepkan Work-Based Learning (WBL), Kolej Komuniti Kuantan, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia selepas tamat pengajian. Fokus kajian adalah tertumpu kepada graduan-graduan ambilan pertama yang telah pun menamatkan pengajian mereka pada Disember 2008. Kejayaan sesuatu program itu diukur apabila sebanyak 75% graduan boleh dipasarkan atau diterima bekerja dalam tempoh 6 bulan selepas tamat pengajian. Kajian yang dijalankan ini akan dapat merungkai persoalan adakah graduan Program Diploma Teknologi Elektrik ini boleh dipasarkan dan diterima oleh industri dalam tempoh yang ditetapkan. Semoga dapatan daripada kajian ini untuk menentukan samaada matlamat pelaksanaan program Diploma Teknologi Elektrik secara WBL tercapai dan kesesuaian untuk program ini diteruskan dapat dibincangkan.

1.0  PENGENALAN

Program Diploma berkonsepkan WBL adalah satu program baru yang telah dibentuk khusus untuk dilaksanakan di Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia hasil daripada penjenamaan semula Kolej Komuniti pada 27 Februari 2007. Konsep pelaksanaannya adalah merupakan gabungan pembelajaran dan latihan di tempat kerja serta pembelajaran teknikal atau vokasional di kolej komuniti.  Bagi melaksanakan pogram yang lebih dikenali sebagai WBL ini, pihak syarikat/industri telah dilibatkan daripada peringkat penggubalan kurikulum, pelaksanaan pengajaran dan latihan, serta penilaian.  Sepanjang tempoh dua semester iaitu semester 5 dan 6, pelajar akan ditempatkan di syarikat/industri sementara pada semester terakhir iaitu semester 7 pelajar akan berada di kolej komuniti.

Pada peringkat awal, program diploma berkonsepkan WBL telah ditawarkan oleh sebelas buah kolej komuniti dan melibatkan enam jenis program diploma.  Salah satu program tersebut adalah program Diploma Teknologi Elektrik yang dilaksanakan oleh Kolej Komuniti Kuantan, Kolej Komuniti Jempol dan Kolej Komuniti Arau.  Kolej-kolej terbabit telah menerima kemasukan pertamanya pada Julai 2007 seramai 102 orang pelajar dan sebanyak 6 buah syarikat/industri bersetuju untuk turut serta dalam menjayakan program ini.  Kolej Komuniti Kuantan telah menempatkan 29 orang pelajar di 11 buah syarikat/industri yang berada di bawah Persatuan Kontraktor Elektrik Bumiputera Pahang.
Lulusan sulung program WBL telah menamatkan pengajian dan dianugerahkan diploma pada Majlis Konvokesyen Program Diploma Pertama pada 31 Mei 2009.  Memandangkan graduan tersebut telah memasuki alam pekerjaan dan ada yang telah diterima bekerja di syarikat/industri maka beberapa persoalan mula timbul iaitu bagaimanakah pandangan syarikat/industri terhadap prestasi graduan ini semasa bekerja?  Berbagai tanggapan dan andaian telah diutarakan oleh pihak kolej komuniti dan juga syarikat/industri terhadap keupayaan graduan tersebut.  Melalui kajian yang bertajuk “SEJAUH MANAKAH PENERIMAAN SYARIKAT/INDUSTRI TERHADAP GRADUAN DIPLOMA TEKNOLOGI ELEKTRIK BERKONSEPKAN WORK-BASED LEARNING (WBL) KOLEJ KOMUNITI KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA?” telah menjawab persoalan berikut. Keseluruhan skor bagi kajian ini adalah tinggi iaitu 4.22 untuk kesemua item penilaian. Ini menunjukkan persoalan yang diutarakan dalam kajian ini telahpun terjawab dimana syarikat telah dapat menerima graduan Diploma Teknologi Elektrik Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan aras penerimaan yang sangat baik.
Pengambilan pelajar-pelajar bagi semua Program Diploma Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pada masa ini adalah dengan mengambil pelajar lepasan sijil kolej komuniti. Ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar lepasan sijil kolej komuniti untuk melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Kesinambungan pembelajaran yang berkonsepkan kemahiran telah menuntut Kolej Komuniti KPTM membentuk program diplomanya sendiri. Secara tidak langsung program diploma yang dijalankan di kolej komuniti dapat menampung sebahagian lulusan sijil yang ingin meningkatkan taraf akademik mereka tetapi tidak mendapat tempat samaada di politeknik atau IPTA lain.

Ambilan pertama Program Diploma Teknologi Elektrik di Kolej Komuniti Kuantan telah menjalankan pengajian dari Julai 2007 sehinggalah Disember 2008. Mereka ini adalah lepasan program Sijil Teknologi Elektrik dari pelbagai Kolej Komuniti seluruh Malaysia. Komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar ini untuk menjalani program WBL ini telah memberikan satu gambaran yang baik untuk Kolej Komuniti Kuantan. Graduan ambilan pertama ini juga dijadikan sebagai responden bagi kajian ini. Pelajar ambilan kedua pula telah menjalankan pengajian mereka dari Julai 2008 sehinggalah Disember 2009. Bagi ambilan kedua ini seramai 30 orang pelajar berjaya menamatkan pengajian mereka. Pelajar program diploma yang kini berada di Kolej Komuniti Kuantan adalah merupakan ambilan ketiga dimana mereka telah mendaftar pada Julai 2009 dan dijangka menamatkan pengajian mereka pada Disember 2010.
Program Diploma ini telah mendapat permintaan yang menggalakkan dari lepasan Sijil Teknologi Elektrik. Apabila permohonan dibuka, pihak Jabatan Pengajian Kolej Komuniti telah menerima ratusan permohonan bagi mengikuti pengajian program diploma. Ini membuktikan bahawa lepasan sijil kolej komuniti berminat dan ingin meningkatkan taraf pendidikan mereka dan tidak hanya berhenti setakat sijil sahaja. Program ini juga menjadi ’trade mark’ kepada kolej yang mana pembelajaran berkonsepkan WBL ini hanya ditawarkan oleh kolej komuniti. Tambahan juga, program ini memberi kelegaan kepada ibu bapa bagi memastikan anak mereka dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

2.0  OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian ini dilaksanakan adalah untuk menentukan:
i)          tahap kebolehpasaran graduan selepas setahun menamatkan pengajian
ii)         penawaran Program Diploma Teknologi Elektrik berkonsepkan WBL diteruskan
Skop kajian ini meliputi aspek-aspek berikut:
a)        Nama syarikat bekerja.
b)        Tarikh mula bekerja.
c)        Gaji yang diterima.


3.0  METODOLOGI

Populasi kajian ini melibatkan 29 graduan Diploma Teknologi Elektrik, Kolej Komuniti Kuantan yang telah mendapat pekerjaan di syarikat/industri selepas tamat pengajian pada Disember 2008 serta maklumat dari pihak pengurusan Sektor Pengurusan Kolej Komuniti (SPKK). Kaedah pengumpulan maklumat yang digunakan adalah dengan membuat panggilan telefon kepada pelajar berpandukan kepada soalan yang sama untuk setiap pelajar. Sementara satu set soalan lagi ditujukan kepada pihak SPKK secara panggilan telefon juga. Mekanisme soalan tersebut adalah seperti di Lampiran 1.

Dapatkan yang selanjutnya dengan klik di sini.

No comments:

Post a Comment